Thursday 25 February 2016

Dakwah si burung hud hud

Adakah begini rupa burung hud-hud yang hidup pada zaman Nabi Sulaiman?

KITA tidak tahu bagaimana rupa dan saiz burung hud-hud seperti yang Allah rakamkan di dalam Surah Al-Naml.Kita hanya tahu betapa hebatnya usaha burung hud-hud keluar mencari berita besar untuk disampaikan kepada rajanya, Nabi Sulaiman Alaihissalam.Burung hud-hud tidak disuruh keluar membuat itu dan ini tetapi burung kecil itu, atas sikap proaktif dan komited terhadap dakwah telah bergerak keluar memerhatikan masyarakat sekeliling dan membawa balik sesuatu yang bermanfaat kepada agama.Kalau burung hud-hud tidak mengambil sikap demikian, maka kerajaan Saba’ yang dipimpin Ratu Balqis tidak akan memeluk agama Islam yang dibawa oleh Nabi Sulaiman.

Cuba kita perhatikan, apakah kelebihan yang ada pada burung hud-hud?

Tidak ada apa kelebihan yang ada pada burung itu. Al-Quran tidak menceritakan apa-apa kelebihannya selain daripada sikapnya yang proaktif, tidak menunggu arahan dan sensitif terhadap apa yang berlaku di depan matanya.Siapa sangka, usaha burung kecil itu membawa kepada pengislaman seluruh kerajaan besar di bawah pimpinan Ratu Balqis.Kita selaku pewaris dakwah Nabi Muhammad SAW pada hari ini, bukanlah kita lebih teruk dan hina daripada burung hud-hud. Bahkan sebagai manusia yang dikurniakan akal dan tulang empat kerat, kita boleh melakukan lebih lagi berbanding burung hud-hud untuk agama tercinta ini.Banyak misi perjuangan Islam yang perlu dilaksanakan oleh umatnya dan sikap proaktif adalah amat diperlukan di kalangan umat Islam.Sikap proaktif muncul apabila iman betul-betul membara di dalam jiwa, seterusnya menghasilkan tindakan-tindakan luar biasa yang besar manfaatnya untuk dakwah

No comments:

Post a Comment